bila jemari lembut menekan keyboard^-^
Peliknya, tidak ada seorang pun daripada mereka yang pernah menjejakkan kaki ke pulau itu.
Di sinilah hebatnya peranan filem dan melodrama Korea yang berjaya mempromosikan Pulau Jeju sebagai pulau peranginan yang indah dan mempunyai pelbagai tarikan.
Walaupun pepatah ada menyebut ‘tak kenal maka tak cinta’ namun nampak gayanya rakan-rakan penulis, bahkan ribuan lagi peminat filem dan drama Korea – jatuh cinta dengan keindahan Pulau Jeju hanya dengan mendengar khabar mengenainya.
Sehingga kini, sebanyak 30 filem dan drama menjalani penggambaran di sekitar pulau seluas 1,848.3 kilometer persegi dengan 570,000 penduduk itu.
Menariknya, filem dan drama terbabit – baik yang sedih, romantis dan meruntun jiwa atau lucu dan mengundang tawa – berjaya memaparkan keistimewaan Pulau Jeju.
Daripada drama epik tentang doktor wanita pertama istana dalam Jewel In The Palace, kisah penyelam wanita dalam Loving You sehinggalah pemandu pelancong wanita dalam My Girl.
Tetapi kenapa semuanya bertumpu tentang wanita?
Ini kerana wilayah paling selatan dan terpanas di Korea dengan 16.2 darjah Celsius itu memang terkenal sejak sekian lama kaya dengan – batu, angin dan wanitanya.
Seiring dengan keindahan alam semula jadi, penyelam wanitanya yang dikenali sebagai ‘haenyeo’ menjadi kebanggaan Pulau Jeju.
Wanita di pulau itu cukup terkenal kerana keberanian dan kecekapan serta ‘keperkasaan’ mengutip dan memikul hasil laut. Mereka jugalah yang menjual makanan laut itu yang menjadi satu lagi keistimewaan Pulau Jeju.
Malah penduduk tidak malu mengakui wanitanya merupakan tulang belakang keluarga.
Sejarah kehidupan penyelam wanita itu diabadikan dalam muzium khas di timur Pulau Jeju.
Jeju juga terkenal sebagai pulau gunung berapi. Hampir keseluruhan pulau itu dipenuhi tinggalan letusannya termasuk pelbagai jenis batu lava.
Arca ganjil yang terbentuk daripada lava gunung berapi selain keunikan gua yang dipenuhi stalaktit dan stalagmit mendorong Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menyenaraikan beberapa tempat sebagai Warisan Dunia.
Antaranya Seongsan-Ilchulbong atau Sunrise Peak yang terbentuk 5,000 tahun lalu selepas letupan gunung berapi dasar laut di mana pengunjung boleh menyaksikan pemandangan menakjubkan matahari terbit dari kemuncaknya.
Seopjikoji yang terletak di tebingnya dan menjadi lokasi penggambaran drama popular All In lakonan Song Hye-Gyo cukup memukau dengan batu ganjil berwarna merah yang tenggelam dan timbul mengikut pasang surut air laut.
Tempat lain yang menarik dikunjungi untuk menikmati keindahan alam semulajadi termasuk Manjanggul – terowong lava terpanjang di dunia (13,422 meter).
Malangnya penulis tidak sempat mengunjungi tempat-tempat itu kerana kesuntukan masa.
Hari terakhir berada di Pulau Jeju – selepas meliputi Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan – tidak cukup untuk melawati semua tempat menarik itu.
Namun penulis berpeluang ke Jusangjeolli Rocks – menikmati keunikan tebing berwarna merah gelap yang kelihatan seperti tiang disusun menegak kesan hakisan ombak dan angin; selain Jeongbang Pokpo – satu-satunya air terjun di Asia yang jatuh terus ke laut.
Walaupun hanya mempunyai sedikit tanah pertanian, ia bukan alasan untuk penduduk Jeju tidak mengusahakannya.
Sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke hotel dan ke tempat-tempat yang penulis kunjungi, jelas kelihatan tanah yang terhad itu dipergunakan sebaik mungkin oleh mereka.
Dengan menerima pancaran matahari sepanjang tahun, Jeju juga terkenal kerana penghasilan limau, nanas dan buah-buahan tropika lain.
Menariknya, penduduk tidak berpuas hati setakat menjualnya begitu sahaja tetapi dipelbagaikan menjadi produk industri kecil dan sederhana (IKS) daripada jem, arak, minyak wangi dan coklat.
Menyedari potensi dan masa depan Jeju kepada industri pelancongan Korea, seorang penduduk tempatan, Song Bong-kyu membuka Halim Park – taman rekreasi bertaraf dunia pada 1971.
Taman yang terkenal sebagai Dunia Bunga Semua Musim itu bukan sekadar dipenuhi pokok dan tumbuhan tropika bahkan kampung budaya yang lengkap dengan kedai makanan tradisional Korea.
Dalam pada menonjolkan keindahan alam semulajadi dan kebudayaan Korea, Jeju sebagai resort percutian sebenarnya dilengkapi hotel moden dengan kasino yang turut menjadi tarikan pelancong terutama dari barat.
Walaupun tidak ada pasar raya besar, membeli-belah bukan masalah kerana hampir semua hotelnya menyediakan kedai bebas cukai – yang pastinya menawarkan barang berjenama asli kerana barang tiruan diharamkan sama sekali.
Terdapat juga puluhan padang golf yang menjadi lapangan latihan pemain-pemain bertaraf antarabangsa dari negara itu dan tumpuan pencinta sukan tersebut.
Seperkara lagi yang menarik tentang Jeju – kalau boleh segala-galanya hendak didokumentasi dan dipamerkan di dalam muzium. Selain Muzium Penyelam Wanita Jeju, terdapat pelbagai muzium lain yang turut disenaraikan dalam kalendar pelancongan pulau itu termasuk Muzium Teh O’Sulloc, Muzium Seks dan Kesihatan dan yang paling popular tentulah Muzium Teddy Bear – di mana satu episod drama Princess Hours menjalani penggambarannya di situ.
p/s: jeju island..mau pegi sini boley??huuuu with yg tersayang..best sungguh nih huuuuuuu
No comments:
Post a Comment